Mesyuarat Lembaga Pengarah UIMB Tekankan Aspirasi UNIMEL ke Arah Universiti Bertaraf Global
Mesyuarat Lembaga Pengarah Universiti Islam Melaka Berhad (UIMB) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Hang Jebat, Seri Negeri. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UIMB.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah YB Dato ‘ Azhar Haji Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka; YB Datuk Wira Salhah Salleh, Pegawai Kewangan Negeri Melaka; serta YB Datuk Rahmad Mariman, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama.
Dalam mesyuarat berkenaan, YAB Ketua Menteri Melaka menegaskan agar Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus mengorak langkah dengan lebih tangkas, progresif, dan berdaya saing bagi mencapai status sebuah universiti yang cemerlang serta bertaraf global.
Beliau turut mendoakan agar UNIMEL berkembang secara dinamik melalui penerokaan sumber baharu, inovasi akademik, serta pengukuhan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak di dalam dan luar negara. Menurutnya, UNIMEL perlu terus menjadi pemangkin dalam melahirkan modal insan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan Negeri Melaka khususnya dan Malaysia amnya.
Mesyuarat ini sekaligus menjadi platform penting dalam merangka hala tuju serta strategi pembangunan universiti agar terus relevan dan berdaya maju seiring dengan aspirasi pendidikan negara.