Utama Berita Umum
🕐 22/08/2025 03:33 PM

Majlis Penutup Kursus Persediaan Timur Tengah (KPTT) 2025 Warnai Usaha Melahirkan Cendekiawan Islam Masa Hadapan

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Penutupan Kursus Persediaan Timur Tengah (KPTT) 2025 yang dianjurkan oleh Sekretariat Pengurusan Pelajar Luar Negara (S-PLAN) dengan kerjasama enam agensi kerajaan negeri Melaka iaitu Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Sektor Pengajian Islam, UNIMEL, serta KAQSA.

Kursus ini disertai oleh 16 pelajar anak Melaka yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan, dalam bidang Pengajian Islam dan Farmasi. Penganjuran kursus tersebut bertujuan memberikan pendedahan ilmiah, pengukuhan kemahiran bahasa Arab, pemahaman isu semasa, serta suntikan motivasi sebagai persediaan menyeluruh sebelum mereka menjejakkan kaki ke bumi para anbiya’ dan ulama’.

Sepanjang kursus, para peserta dibimbing oleh alumni Timur Tengah, termasuk pensyarah UNIMEL dan graduan Universiti al-Azhar yang baru menamatkan pengajian, bagi memastikan ilmu dan pengalaman yang dikongsi lebih dekat dengan realiti kehidupan di sana. Penganjuran KPTT ini bukan sekadar latihan akademik, tetapi turut menzahirkan hasrat negeri Melaka dalam melahirkan modal insan berteraskan ilmu, akhlak, dan kepimpinan Islam yang berpotensi menjadi penerus legasi ulama dan profesional Muslim pada masa hadapan.