MAJLIS BERBUKA PUASA UNIMEL PERKUKUH UKHWAH DAN KEPRIHATINAN SOSIAL BERTEPATAN DENGAN MATLAMAT PEMBANGUNAN MAMPAN (SDG) 2: MEMBASMI KELAPARAN
Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga UNIMEL bertempat di Masjid Al-Ilmi, UNIMEL. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Azhar bin Hj. Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka.
Majlis yang berlangsung dengan penuh keberkatan ini bertujuan untuk memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan warga UNIMEL serta menyemai semangat kebersamaan di bulan Ramadan yang mulia. Selain daripada sesi berbuka puasa, majlis ini turut menyaksikan penyampaian sumbangan kepada para pelajar asnaf dan staf yang kurang berkemampuan sebagai satu usaha meringankan beban mereka sepanjang bulan Ramadan.
Menurut Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL, majlis seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan sesama warga universiti, malah mencerminkan nilai keprihatinan sosial yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2, iaitu membasmi kelaparan dan memastikan keselamatan makanan bagi golongan yang memerlukan.
Dalam majlis ini, seramai 18 orang staf UNIMEL turut menerima sumbangan daripada syarikat Nyala Satria (M) Sdn. Bhd., anak syarikat Adabi Consumer Industries Sdn. Bhd., berupa hamper makanan. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban penerima dalam menyambut Ramadan dengan lebih bermakna. Selain itu, pihak syarikat turut menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong inisiatif kebajikan seperti ini pada masa akan datang. Seramai 350 orang pelajar juga turut diraikan di dalam majlis yang penuh bermakna ini. Lebih mengujakan apabila juadah yang disediakan pada majlis ini, dimasak sendiri oleh Naib Canselor UNIMEL secara gotong-royong bersama-sama staf dan pelajar. Pihak Maxis Berhad juga turut menyumbang 1,500 mangkuk bubur lambuk kepada semua pelajar.
Majlis turut diserikan dengan tazkirah Ramadan yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Fikri Ihsan bin Mohd Khairuddin, Imam 1 Masjid Al-Ilmi UNIMEL yang menekankan kepentingan kesyukuran dan semangat tolong-menolong dalam masyarakat. Para hadirin mendapat pengisian rohani yang mendalam, sekali gus menghayati nilai-nilai murni yang ditekankan dalam bulan suci ini.
Salah seorang penerima sumbangan, Encik Md. Rostam bin Md. Kasim, menyatakan rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diberikan. “Saya amat berterima kasih kepada pihak universiti dan para penyumbang atas keprihatinan mereka. Bantuan ini amat bermakna bagi kami dalam menghadapi bulan Ramadan,” katanya.
Majlis berakhir dengan solat Maghrib berjemaah sebelum para hadirin meneruskan ibadah dan aktiviti pengisian rohani sepanjang malam. Dengan adanya program seperti ini, UNIMEL terus komited dalam melaksanakan tanggungjawab sosialnya dan memperkukuhkan nilai-nilai Islam dalam komuniti universiti. Selain itu, pihak universiti berharap agar program ini dapat dijadikan acara tahunan yang dapat memberikan manfaat kepada lebih ramai warga UNIMEL pada masa akan datang.