JALINAN KERJASAMA PERSEFAHAMAN ANTARABANGSA DI ANTARA UNIVERSITI ISLAM MELAKA (UNIMEL) DAN UNIVERSITAS ISLAM AN NUR LAMPUNG
Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus memperkukuh jaringan antarabangsa melalui pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) bersama Universitas Islam An Nur Lampung, Indonesia, dalam satu majlis rasmi yang diadakan di kampus UNIMEL.
Delegasi dari Universitas Islam An Nur Lampung telah diketuai oleh Prof. Dr. Andi Warisno, Rektor, dan disambut mesra oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor Universiti Islam Melaka.
Majlis tandatangan MoU ini turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor, barisan pensyarah, serta seramai 100 orang pelajar yang menjadi saksi kepada jalinan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Melalui kerjasama ini, UNIMEL dan Universitas Islam An Nur Lampung berhasrat untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bersama dalam bidang pengantarabangsaan, francais akademik, penerbitan ilmiah, penyelidikan, serta program mobiliti pelajar dan pensyarah.
YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil dalam ucapannya menzahirkan harapan agar jalinan ini bukan sekadar simbolik, tetapi dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan strategik yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak serta memperkukuh kedudukan UNIMEL sebagai universiti Islam berdaya saing di peringkat global.