Utama Berita Umum
🕐 20/03/2025 01:09 PM
SDG 7: Affordable and Clean Energy

E-BIKE: INISIATIF LESTARI UNIMEL SOKONG SDG 7 UNTUK KEMUDAHAN PENGAWAL

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus komited dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 7 iaitu Tenaga Bersih dan Mampu Milik melalui inisiatif memperkenalkan penggunaan e-bike kepada pasukan pengawal keselamatan kampus. Majlis penyerahan e-bike ini berlangsung dengan penuh simbolik sempena Majlis Berbuka Puasa yang diadakan di Masjid Al-Ilmi, Permatang Ilmu, UNIMEL, pada Khamis, 20 Mac 2025.

E-bike ini diserahkan secara rasmi oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL, sebagai sebahagian daripada usaha universiti dalam menggalakkan penggunaan tenaga bersih dan mampan di kampus. Inisiatif ini bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan berasaskan bahan api fosil, sekali gus menyokong usaha global dalam mengurangkan pelepasan karbon.

Penggunaan e-bike memberikan pelbagai kelebihan, termasuk kos operasi dan penyelenggaraan yang lebih rendah, pergerakan yang lebih pantas, serta kecekapan rondaan yang lebih tinggi dalam memastikan keselamatan di seluruh kawasan kampus. Ia juga selari dengan visi UNIMEL untuk mempromosikan kelestarian dan mengurangkan jejak karbon.

Dengan pelaksanaan inisiatif ini, UNIMEL mengorak langkah lebih jauh dalam mengekalkan kelestarian kampus, seiring dengan agenda global untuk memastikan akses kepada tenaga bersih dan mampan. Inisiatif ini juga diharap dapat memberi kesedaran kepada warga kampus tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui penggunaan teknologi hijau dalam aktiviti seharian.

Sebagai institusi pendidikan tinggi yang sentiasa mendukung pembangunan lestari, UNIMEL berhasrat untuk terus memperluas penggunaan teknologi hijau dalam pelbagai aspek pengurusan kampus pada masa akan datang. Usaha ini diharap bukan sahaja dapat memberi impak positif kepada alam sekitar, tetapi juga memupuk kesedaran dalam kalangan generasi muda tentang kepentingan kelestarian demi masa depan yang lebih baik