NUR RAMADAN: 67 PELAJAR TAHFIZ BESTARI UNIMEL SEMPURNAKAN MAJLIS KHATAM AL-QURAN
MELAKA β Suasana di Pusat ICT Al-Biruni, Universiti Islam Melaka (UNIMEL) hari ini diselubungi rasa tenang dan syahdu apabila seramai 67 orang pelajar daripada Pusat Tahfiz Bestari berkumpul bagi menyempurnakan Majlis Khatam Al-Quran.
Majlis yang diadakan bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini bukan sekadar satu acara tradisi, malah ia merupakan simbolik kepada kecintaan para pelajar terhadap kalam Allah dalam bulan yang diturunkan Al-Quran (Nuzul Al-Quran).
Bagi seorang pelajar tahfiz, Ramadan adalah medan ujian dan pembuktian kepada disiplin serta hafalan yang telah dipelajari. Dengan bimbingan para guru, 67 pelajar ini berjaya menamatkan bacaan 30 juzuk, sekali gus membuktikan komitmen tinggi mereka dalam memartabatkan syiar Islam di bumi UNIMEL.
Majlis tersebut telah diserikan dengan kehadiran Yang Berusaha Ustaz Mohd Izzuddin bin Mohd Noor, Pengarah Pusat Tahfiz Bestari UNIMEL. Kehadiran beliau bukan sahaja sebagai perasmi, malah sebagai tanda sokongan moral yang tidak berbelah bahagi kepada para pelajar.
Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa gelaran ‘Tahfiz Bestari’ perlu dibawa dengan penuh tanggungjawab. Beliau mahu pelajar-pelajar ini bukan sahaja cemerlang dalam hafalan, tetapi juga menjadi contoh dari segi akhlak dan sahsiah kepada mahasiswa UNIMEL yang lain.
“Khatam Al-Quran di bulan Ramadan adalah satu pencapaian rohani yang sangat bermakna. Saya berharap agar nur Al-Quran ini terus mengalir dalam sanubari setiap pelajar, bukan sahaja di dalam dewan ini, tetapi dalam setiap langkah kehidupan mereka selepas ini,” ujar Ustaz Mohd Izzuddin.
Majlis diakhiri dengan bacaan doa khatam yang penuh emosi, memohon keberkatan agar ilmu yang dihafal kekal dalam ingatan dan menjadi syafaat di akhirat kelak. Penganjuran majlis seperti ini membuktikan bahawa UNIMEL terus komited dalam melahirkan pelajar yang seimbang dari sudut akademik dan spiritual, selaras dengan visi universiti untuk melahirkan insan yang ‘bestari’ duniawi dan ukhrawi.