PENTAS ILMU PERUNDANGAN PERKUKUH KESEDARAN UNDANG-UNDANG MAHASISWA UNIMEL
Universiti Islam Melaka, 28 Januari 2026 β Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus komited memperkasa kefahaman undang-undang dalam kalangan mahasiswa apabila menganjurkan Pentas Ilmu Perundangan: From Flirt to Court β Batas Gurauan Seksual di Alam Siber bertempat di Auditorium Ibn Khaldun. Program yang berlangsung dari jam 2.00 petang hingga 5.00 petang itu menghimpunkan kira-kira 150 hingga 200 orang pelajar daripada Semester 1 hingga Semester 4 melibatkan program DUU, DPS dan SMPS.
Program ini telah dirasmikan oleh Puan Nurabiatuladawiah binti Abdul Rahman, Dekan Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa (FUG). Dalam ucapan perasmian, beliau menegaskan kepentingan literasi undang-undang khususnya berkaitan keselamatan dan etika komunikasi di alam siber yang semakin mencabar, selari dengan perkembangan teknologi digital dan penggunaan media sosial dalam kehidupan seharian mahasiswa.
Pengisian utama program disampaikan oleh Tuan Mohd Fadzlullah bin Ramli, Peguamcara dan Peguambela daripada Tetuan Fadzlullah & Co, Alor Gajah. Beliau mengupas secara mendalam isu gurauan seksual di alam siber yang sering dipandang remeh, namun boleh membawa implikasi perundangan yang serius. Perkongsian turut merangkumi peruntukan undang-undang berkaitan, contoh kes sebenar, serta hak individu untuk membuat aduan dan mendapatkan perlindungan di bawah undangundang sedia ada.
Sepanjang sesi, para peserta didedahkan dengan garis pemisah antara gurauan dan gangguan seksual, tanggungjawab pengguna media sosial, serta langkah pencegahan dan tindakan yang boleh diambil sekiranya menjadi mangsa. Pendekatan interaktif yang digunakan telah berjaya menarik minat pelajar dan menggalakkan perbincangan terbuka mengenai isu sensitif tetapi penting ini.
Objektif utama penganjuran program adalah untuk meningkatkan kesedaran undang-undang dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi berkaitan isu semasa serta hak individu dalam masyarakat, khususnya dalam konteks dunia digital. Program ini juga berperanan membentuk sikap bertanggungjawab dan beretika dalam komunikasi siber.
Kesimpulannya, penganjuran Pentas Ilmu Perundangan: From Flirt to Court diharap dapat memberi impak positif serta pencerahan kepada mahasiswa UNIMEL mengenai hak mereka untuk menuntut keadilan dan melindungi diri di bawah undang-undang, seterusnya melahirkan graduan yang peka, berinformasi dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran era digital.