Utama Berita Pelajar
🕐 02/02/2026 02:12 PM
SDG 4: Quality Education SDG 16: Peace, Justice and Strong Institutions

PILIHAN RAYA KAMPUS 2026: MAHASISWA UNIMEL CETUS GELOMBANG KEPIMPINAN BAHARU BERTERASKAN H.E.R.O

KUALA SUNGAI BARU, 2 Februari 2026 – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus memperkukuh budaya demokrasi kampus apabila Pilihan Raya Kampus (PRK) Sesi 2026 mencatat penyertaan pelajar yang memberangsangkan menerusi sistem e-Voting sepenuhnya, sekali gus mencerminkan kematangan politik mahasiswa dalam membentuk hala tuju kepimpinan universiti.

PRK kali ini menyaksikan persaingan sengit bagi jawatan utama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) termasuk Presiden, Timbalan Presiden, Setiausaha, Bendahari serta barisan EXCO pelajar merentas fakulti sekaligus menandakan kebangkitan generasi mahasiswa yang semakin sedar akan peranan strategik mereka sebagai rakan pembangunan institusi.

Suara Mahasiswa, Mandat Transformasi. Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly menegaskan bahawa keputusan PRK bukan sekadar proses pemilihan, sebaliknya satu mandat jelas daripada mahasiswa untuk mengangkat suara pelajar ke peringkat pengurusan tertinggi universiti. “Kepimpinan MPP yang dipilih hari ini membawa amanah besar untuk menjadi penghubung strategik antara mahasiswa dan
universiti. Ini adalah latihan kepimpinan sebenar yang membentuk graduan H.E.R.O – Holistic, Entrepreneurial, Responsible dan Outstanding,”katanya.

Proses pengundian yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang itu didahului kempen selama 12 hari yang menampilkan manifesto berfokus kebajikan, kebolehpasaran graduan serta transformasi digital, termasuk sesi debat terbuka dan kempen media sosial yang aktif.

Kepimpinan Baharu, Agenda Mahasiswa. Presiden MPP terpilih, Muhammad Anuar Farihin bin Abdul Razak, dalam ucapan sulung menyatakan komitmen untuk memberi keutamaan kepada isu kos sara hidup pelajar, pemerkasaan kemahiran digital serta pengukuhan ekosistem pembelajaran yang lebih inklusif.

“Kami menerima amanah ini dengan penuh tanggungjawab. Fokus kami adalah memastikan kebajikan mahasiswa terus diperkasa, di samping menyediakan pelajar UNIMEL dengan kompetensi masa depan yang relevan dengan keperluan industri,” katanya.

Majlis angkat sumpah dan penyerahan watikah pelantikan barisan MPP baharu dijadualkan berlangsung minggu hadapan, sekali gus membuka lembaran baharu kepimpinan mahasiswa yang diharapkan mampu menjadi pemangkin kepada transformasi kampus berteraskan nilai H.E.R.O serta kebolehpasaran graduan berimpak tinggi.