Utama Berita Umum
🕐 15/12/2025 08:59 PM
SDG 4: Quality Education SDG 9: Industry, Innovation and Infrastructure SDG 17: Partnerships for the Goals

UNIMEL METERAI MOU BERSAMA APTISI RIAU DAN UNIVERSITAS PERSADA BUNDA, RIAU, PERKUKUH PENDIDIKAN LESTARI SERANTAU

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Assosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI) Wilayah Riau dan Universitas Persada Bunda, Riau Indonesia sebagai langkah strategik memperkukuh jaringan akademik dan kerjasama pendidikan tinggi di peringkat serantau.

Kerjasama ini selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (Sustainable Development Goals, SDG), khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 9 (Industri, Inovasi dan Infrastruktur) serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat). Antara skop utama kerjasama termasuk pembangunan kurikulum bersama, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pertukaran akademik dan mahasiswa, penerbitan ilmiah serta penganjuran seminar dan kolokium akademik.

Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, berkata pemeteraian MoU ini mencerminkan komitmen UNIMEL dalam membina ekosistem pendidikan tinggi yang lestari, inklusif dan berimpak tinggi. Menurut beliau, kolaborasi rentas negara ini bukan sahaja memperkaya wacana keilmuan, malah menyumbang kepada pembentukan modal insan holistik yang mampu mendepani cabaran global.

Sementara itu, Ketua APTISI Wilayah Riau, Prof. Dr. H. Syafrinaldi, menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan membuka ruang perkongsian kepakaran dan inovasi pendidikan yang memberi manfaat bersama kepada institusi pendidikan tinggi di Malaysia dan Indonesia.

Pemeteraian MoU ini turut memperkukuh aspirasi Kampus Sejahtera: UNIMEL Lestari dan Hijau, selaras dengan usaha universiti mempromosikan pembangunan ilmu yang bertanggungjawab, hubungan institusi yang harmoni serta kesejahteraan masyarakat melalui pendidikan berteraskan kelestarian.