Utama Berita Umum
🕐 25/09/2025 03:59 PM

MAJLIS MENANDATANGANI MoU DAN MoA ANTARA UNIVERSITI ISLAM MELAKA (UNIMEL) DAN COLLEGE OF MANAGEMENT TECHNOLOGY (CMT) CAMPUS, SRI LANKA

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa melalui Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) bersama College of Management Technology (CMT) Campus, Sri Lanka.

Majlis bersejarah ini telah berlangsung di Bilik Mesyuarat Tun Sri Lanang, Universiti Islam Melaka, dengan kehadiran delegasi CMT Campus yang diketuai oleh Dr. A.M. Jameel Ahamed Mohamed, Pengerusi CMT Campus, Sri Lanka.

Delegasi berkenaan telah disambut oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Naib Canselor Universiti Islam Melaka. Turut hadir, Dr. Mazni binti Muhammad, Dekan Fakulti Pendidikan yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), serta Puan Roslida Saat, Ketua Bahagian Antarabangsa dan Kerjasama Strategik.

Kerjasama ini menandakan satu lagi langkah penting UNIMEL dalam memperluas jaringan globalnya, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan, serta pembangunan pelajar dan staf. Menurut YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil, inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada warga UNIMEL untuk terlibat dalam program mobiliti, pertukaran akademik, kolaborasi penyelidikan, serta pembangunan kapasiti yang sejajar dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi Islam yang
berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Kerjasama strategik ini juga dijangka akan memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Sri Lanka dalam konteks pendidikan tinggi Islam serta memperluas peluang perkongsian ilmu dan kepakaran di rantau Asia Selatan.