TYT Yang di-Pertua Negeri Melaka Terima Kunjungan Hormat Delegasi UNIMEL
Delegasi Universiti Islam Melaka (UNIMEL) yang diketuai oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL, telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali bin Mohd Rustam, Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UNIMEL, bertempat di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Jalan Seri Negeri, Ayer Keroh.
Turut hadir dalam rombongan ialah YBrs. Tn. Hj. Noor Jeffri bin Abdul Wahab, Pendaftar UNIMEL; YBrs. Tn. Hj. Ismail bin Hasim, Bendahari UNIMEL; serta Hj. Iqbal Zahin bin Ismail, Pengarah Sumber Manusia UNIMEL. Dalam pertemuan ini, Naib Canselor telah menyampaikan watikah pelantikan semula TYT Tun sebagai Canselor UNIMEL bagi pihak Ahli Lembaga Pengarah universiti. Majlis penuh istiadat ini menandakan kepercayaan berterusan terhadap kepimpinan dan peranan TYT Tun dalam memayungi UNIMEL sebagai institusi pendidikan tinggi Islam di Melaka.
Selain itu, delegasi UNIMEL turut memaklumkan mengenai Istiadat Konvokesyen UNIMEL kali ke-27 yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2025. Penerangan mengenai persiapan konvokesyen ini diberikan sebagai sebahagian daripada agenda rasmi universiti dalam melaksanakan tanggungjawab akademik dan meraikan pencapaian graduan.
Kunjungan hormat ini menjadi simbol hubungan erat antara kepimpinan negeri dengan pihak universiti, sekali gus mencerminkan sokongan padu kerajaan negeri terhadap perkembangan UNIMEL. Ia juga diharap dapat memperkukuh aspirasi universiti untuk terus melahirkan modal insan berdaya saing yang memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan negeri dan negara.