UNIMEL PERKUKUH NILAI “RESPONSIBLE” MELALUI AMALAN KITAR SEMULA KAMPUS
Universiti Islam Melaka, 19 Januari 2026 – Universiti Islam Melaka (UNIMEL) terus memperkukuh penghayatan nilai teras “Responsible” menerusi pelaksanaan amalan kitar semula secara menyeluruh di kampus sebagai sebahagian daripada agenda Kampus Sejahtera: UNIMEL Lestari dan Hijau. Inisiatif ini dilaksanakan selari dengan pembudayaan konsep H.E.R.O (Holistic, Entrepreneurial, Responsible dan Outstanding) dalam ekosistem universiti, sekali gus mencerminkan komitmen UNIMEL terhadap kelestarian alam sekitar, pengurusan sumber yang beretika serta tanggungjawab sosial warga kampus.
Menurut Profesor Ts. Dr. Datuk Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL, pelaksanaan Kampus Sejahtera: UNIMEL Lestari dan Hijau menuntut penghayatan nilai Responsible dalam setiap aspek kehidupan kampus. Beliau menegaskan bahawa amalan kitar semula bukan sekadar satu inisiatif pemeliharaan alam sekitar, malah merupakan proses penting dalam pembentukan sahsiah graduan H.E.R.O dan warga kampus yang beretika, berdaya tahan serta prihatin terhadap kelestarian masa hadapan.

“Amalan kitar semula perlu dijadikan budaya berterusan dalam komuniti universiti kerana ia mencerminkan kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dan masyarakat,” ujar beliau.
Pelaksanaan program kitar semula secara sistematik di UNIMEL merangkumi penyediaan kemudahan kitar semula yang kondusif, pelaksanaan kempen kesedaran serta penglibatan aktif warga universiti termasuk staf dan pelajar. Usaha ini telah menyumbang kepada pengurangan sisa pepejal, peningkatan kecekapan pengurusan alam sekitar serta pengukuhan budaya kampus lestari.
Inisiatif ini sekali gus memperteguh aspirasi UNIMEL dalam melahirkan graduan berdaya saing dan berimpak positif, selaras dengan matlamat pembangunan mampan serta peranan universiti sebagai pemangkin perubahan ke arah kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.