Utama β€Ί Berita β€Ί Pelajar
πŸ• 03/01/2026 06:44 PM

PROGRAM KEEPERKU : SCOUT & WILD

Melaka, 3 Januari 2026 – Persatuan Pengakap Kelana Universiti Islam Melaka (UniMel) telah berjaya menganjurkan satu program khidmat masyarakat bertemakan flora dan fauna di Zoo Melaka, Ayer Keroh. Program yang diberi nama KeeperKu : Scout & Wild ini melibatkan penyertaan seramai 42 orang ahli aktif Pengakap Kelana UniMel dan bertujuan memupuk kesedaran terhadap pemeliharaan alam sekitar serta kebajikan hidupan liar.

Program bermula seawal pagi dengan para peserta dibahagikan mengikut beberapa seksyen haiwan. Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah membersihkan kandang harimau, buaya dan chimpanzee, selain kerja-kerja menyapu dan mengutip sampah di kawasan kandang landak, gajah dan ular. Para peserta turut diberi pendedahan secara langsung tentang penjagaan haiwan apabila mereka menyediakan makanan yang sihat dan seimbang untuk burung nuri, burung merak, hamster serta arnab.

Aktiviti khidmat masyarakat ini berakhir pada jam 12.00 tengah hari di Stadium Animal Show, Zoo Melaka. Di sana, para peserta berkumpul untuk sesi perkongsian pengalaman daripada setiap seksyen haiwan yang ditugaskan, selain merakamkan gambar kenangan bersama pengiring program, iaitu Penyelaras Pengakap Kelana UniMel, Tuan Nor Asree bin Mohd Noh.

Seterusnya, para peserta diberi peluang untuk meneroka keseluruhan kawasan zoo sehingga jam 2.00 petang, sekali gus menambah pengetahuan tentang kepelbagaian spesies flora dan fauna yang terdapat di Zoo Melaka. Program diteruskan dengan aktiviti permainan berkumpulan yang diadakan di Dataran Ayer Keroh. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sorakan kumpulan, human knot, lava tiles, color blind serta permainan meniup belon ke dalam cawan, yang bertujuan meningkatkan semangat kekitaan, kerjasama dan kepimpinan dalam kalangan ahli pengakap.

Program KeeperKu : Scout & Wild melabuhkan tirainya pada jam 5.00 petang dengan penyampaian hadiah kepada kumpulan pemenang serta anugerah khas kepada individu yang paling menyerlah sepanjang program berlangsung. Kesemua peserta kemudiannya bertolak pulang ke kolej kediaman dengan menaiki bas UniMel.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memberi pendedahan tentang realiti pekerjaan dalam aktiviti sosial dan pemuliharaan haiwan, malah berjaya menerapkan nilai menghargai alam semula jadi serta membangunkan kemahiran komunikasi dan kerja berpasukan yang berkesan dalam diri setiap peserta.