Utama Berita Pelajar
🕐 21/08/2025 03:07 PM
SDG 4: Quality Education SDG 8: Decent Work and Economic Growth SDG 17: Partnerships for the Goals

Program Praktikum Cemerlang 5.0 Perkasa Kepimpinan & Profesionalisme Mahasiswa UNIMEL

Kelab Siswa Siswi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (KESPAKK), Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menganjurkan Program Praktikum Cemerlang 5.0: Pemacu Kepimpinan dan Profesionalisme Mahasiswa/i bertempat di Auditorium Ibn Khaldun, UNIMEL.

Program ini telah menghimpunkan barisan tetamu jemputan antaranya Dr. Mazni Binti Muhammad, Dekan Fakulti Pendidikan; Puan Qalam Rabi’ah Binti Ibrahim, Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan merangkap Penyelaras KESPAKK; Cik Aziyati Zahirah Binti Asnil Aimi, Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-Kanak; Puan Siti Nur Atikah Binti Ismail, Penyelaras Praktikum Fakulti Pendidikan; serta Cik Nur Farhana Binti Abd Wahid sebagai penceramah jemputan. Program ini turut disertai oleh alumni UNIMEL, Nurul Halimatun Izzah Binti Muhd Nizam dan seluruh pensyarah Fakulti Pendidikan.

Seramai 203 orang pelajar Semester 5 hadir bagi mengikuti perkongsian ilmu serta aktiviti yang disusun. Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran peserta diiringi aktiviti santai seperti cabutan bertuah dan teka gula dalam balang. Sesi perkongsian alumni memberi pendedahan awal mengenai pengalaman praktikum di Taska dan Tadika.

Slot ceramah utama dikendalikan oleh Cik Nur Farhana Binti Abd Wahid melalui tiga pengisian bertajuk Pendidik Luar Biasa, Pedagogi Cemerlang dan Pengurusan Bilik Darjah yang memberikan ilmu serta panduan berguna kepada bakal pendidik.

Majlis perasmian diadakan pada sebelah petang dengan nyanyian lagu kebangsaan, bacaan doa, persembahan nyanyian oleh ahli KESPAKK serta ucapan alu-aluan daripada Pengarah Program, Nur Anis Husna Binti Mohd Razin. Ucapan penutup disampaikan oleh Timbalan Dekan, Puan Qalam Rabi’ah Binti Ibrahim, yang mewakili Dekan Fakulti Pendidikan. Majlis berakhir dengan penyampaian hadiah pemenang teka gula dan sesi bergambar kenangan bersama semua peserta.

Objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran asas mengajar mahasiswa/i, memperkukuh kemahiran sosial dan komunikasi, serta memperkasakan kepimpinan dan pengurusan organisasi dalam kalangan ahli KESPAKK.

Secara keseluruhannya, Program Praktikum Cemerlang 5.0 telah berjaya memberikan pendedahan awal mengenai persediaan praktikum kepada para pelajar. Ia bukan sahaja membimbing mereka agar lebih bersedia menghadapi cabaran di Taska dan Tadika, malah turut membantu meningkatkan keyakinan diri, sahsiah, serta profesionalisme sebagai bakal pendidik negara.