Utama Berita Pelajar
🕐 29/08/2025 03:37 PM
SDG 4: Quality Education

Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Ke-68 Peringkat UNIMEL Disambut Meriah

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah melakar sejarah apabila Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan Ke-68 peringkat universiti berlangsung dengan penuh semangat patriotisme di Stadium UNIMEL. Majlis gilang-gemilang itu telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL.

Turut sama memeriahkan acara ialah YBrs. Ust. Hj. Zulkefli bin Abu Bakar, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni; Tn. Hj. Noor Jeffri bin Abdul Wahab, Pendaftar; serta Tn. Hj. Ismail bin Hasim, Bendahari UNIMEL.

Pelbagai aktiviti menarik telah diadakan sempena pelancaran ini, antaranya Fun Run Merdeka yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan warga universiti. Turut menjadi perhatian ialah pertandingan Fakulti Paling Patriotik dan Kolej Kediaman Paling Patriotik yang menyuntik semangat cintakan tanah air dalam kalangan mahasiswa.

Tahniah diucapkan kepada Fakulti Sains Sosial (FSS) yang berjaya dinobatkan sebagai fakulti paling patriotik, manakala gelaran juara kolej kediaman paling patriotik dimenangi oleh Kolej Kediaman Blok B (Ummu Habibah).

Selaras dengan tema sambutan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, majlis ini mencerminkan hasrat murni untuk membina sebuah negara bangsa yang harmoni dan sejahtera, berteraskan kasih sayang, ihsan, hormat-menghormati, serta kepedulian terhadap rakyat.

Dengan penuh rasa syukur, warga UNIMEL turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Ke-68 pada tarikh keramat 31 Ogos 2025, sebagai tanda kecintaan kepada tanah air tercinta.