32 ANGGOTA WATANIAH UNIMEL SERTAI PERBARISAN PEMBUKAAN LATIHAN ASKAR WATANIAH 2026 REJIMEN 514
MELAKA, 24 Januari 2026 β Seramai 32 orang anggota Askar Wataniah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah terlibat dalam Perbarisan Pembukaan Latihan Askar Wataniah Tahun 2026 Rejimen Ke-514 Askar Wataniah yang berlangsung di Persiaran Encore, Klebang, Melaka.
Perbarisan ini telah disertai oleh seramai 5 orang pegawai dan 107 orang anggota sukarela, termasuk anggota Wataniah UNIMEL, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan pasukan dalam memperkukuh kesiapsiagaan serta profesionalisme Askar Wataniah.
Majlis perbarisan dimulakan dengan demonstrasi Tempur Tanpa Senjata (TTS) yang dipersembahkan oleh anggota sukarela Rejimen 514 Askar Wataniah, mempamerkan tahap disiplin, kemahiran tempur dan kecekapan anggota dalam aspek pertahanan diri serta kawalan taktikal.
Perbarisan Pembukaan Latihan ini menjadi titik permulaan penting dan lembaran baharu kepada seluruh pegawai dan anggota Rejimen 514 Askar Wataniah dalam memperkasakan tahap profesionalisme, disiplin serta kesiapsiagaan pasukan. Latihan yang dirancang bukan sahaja memberi penekanan kepada penguasaan ilmu dan kemahiran ketenteraan, malah turut berperanan dalam membentuk jati diri, semangat setiakawan dan keupayaan kepimpinan dalam kalangan anggota agar sentiasa bersedia menghadapi cabaran keselamatan semasa dan pada masa hadapan.
Penyertaan aktif anggota Wataniah UNIMEL dalam perbarisan ini mencerminkan peranan institusi pendidikan tinggi dalam menyumbang kepada agenda keselamatan negara serta pembinaan modal insan berdisiplin dan berdaya tahan.