Utama β€Ί Berita β€Ί Pelajar
πŸ• 24/01/2026 03:04 PM

9 ANGGOTA WATANIAH UNIMEL SERTAI EKSESAIS PERISAI KEAMANAN BANDAR 2026

SIKAMAT, 24 Januari 2026 – Seramai 9 orang anggota Askar Wataniah Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menyertai Eksesais Perisai Keamanan Bandar 2026 yang berlangsung di Kem Sikamat, Negeri Sembilan, sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan dan pengurusan krisis melibatkan pelbagai agensi keselamatan negara.

Latihan berskala besar ini melibatkan Tentera Darat Malaysia melalui Briged Pertama Infantri Malaysia dengan kerjasama strategik pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Hospital Tuanku Jaafar serta Pejabat Daerah Seremban.

Secara keseluruhan, latihan ini disertai oleh seramai 580 peserta daripada pelbagai agensi berkaitan, bertujuan menguji tahap kesiapsiagaan, koordinasi antara agensi serta keupayaan pengurusan keselamatan bandar dalam menghadapi pelbagai senario ancaman dan kecemasan.

Penyertaan anggota Wataniah UNIMEL dalam latihan ini mencerminkan komitmen universiti dalam menyokong agenda keselamatan negara serta memperkukuh semangat patriotisme, disiplin dan kepimpinan dalam kalangan warga universiti.

Latihan seperti ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran taktikal dan pengurusan operasi, malah mempereratkan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan agensi keselamatan demi kesejahteraan serta keselamatan negara.