PASCA SISWAZAH SETAHUN, TANPA PEPERIKSAANβUNIMEL UNTUK GOLONGAN BEKERJA
Universiti Islam Melaka (UNIMEL) memperkenalkan pendekatan baharu pengajian peringkat pascasiswazah menerusi penganjuran Karnival Pascasiswazah UNIMEL 2025 yang berlangsung dari 18 hingga 28 Disember 2025 bertempat di Pekarangan Bangunan Canselori, UNIMEL dan Bilik Mesyuarat Luqman Al-Hakim, UNIMEL.
Karnival ini menjadi platform utama bagi memperkenalkan Revolusi Pengajian Pascasiswazah UNIMEL yang menekankan konsep pengajian fleksibel, tanpa peperiksaan, berasaskan kerja kursus sepenuhnya serta responsif terhadap keperluan industri dan impak semasa. Pendekatan ini selari dengan keperluan strategik pembangunan modal insan negara dan peningkatan kebolehpasaran graduan.
Melalui inisiatif ini, UNIMEL menawarkan pelbagai program sarjana tempoh satu tahun, antaranya Analitik Perniagaan, Pengurusan Perniagaan, Warisan dan Budaya, Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Undang undang (Forensik), Pengurusan Haji dan Umrah serta Pentadbiran Awam.
Penganjuran Karnival Pascasiswazah UNIMEL 2025 turut menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) khususnya SDG 4 (Pendidikan Berkualiti), SDG 8 (Pekerjaan Layak dan Pertumbuhan Ekonomi) dan SDG 9 (Inovasi dan Modal Insan). Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kampus Sejahtera: UNIMEL Lestari dan Hijau dalam melahirkan graduan berdaya saing, beretika dan mampan.
Antara pengisian utama sepanjang karnival termasuk taklimat akademik dan khidmat nasihat pengajian, sesi Coffee Talk dan Meet Your Supervisor, pendedahan laluan pengajian tanpa peperiksaan, serta usaha memperkukuh hubungan strategik antara akademia dan industri. Melalui penganjuran ini, UNIMEL menzahirkan komitmen berterusan dalam menyediakan ekosistem pengajian pascasiswazah yang inovatif, inklusif dan relevan, seterusnya memperkukuh peranan universiti sebagai pemangkin pembangunan ilmu dan modal insan berkualiti.