Majlis Penutup Minggu Mesra Siswa UNIMEL Sesi 2 2025/2026 Berlangsung Meriah
Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menganjurkan Majlis Penutup Minggu Mesra Siswa Sesi 2 2025/2026 sebagai penutup rasmi kepada rangkaian program orientasi pelajar baharu universiti tersebut.
Majlis penutup ini telah dirasmikan oleh Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. DHc. Abdul Khalil Shawkataly. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Alumni dan Perhubungan Industri, Tuan Haji Zulkefli bin Abu Bakar, serta Dr. Mazni Binti Mohamad yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa merangkap Dekan Fakulti Pendidikan.
Majlis ini menjadi platform penting dalam menyemai semangat kebersamaan dan jati diri dalam kalangan pelajar baharu selepas melalui pelbagai pengisian sepanjang Minggu Mesra Siswa. Program yang dilaksanakan bukan sahaja memberi pendedahan awal terhadap kehidupan kampus, malah membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik, sosial dan budaya universiti.
Dalam ucapannya, Naib Canselor menzahirkan harapan agar para pelajar baharu dapat memanfaatkan sepenuhnya peluang menuntut ilmu di UNIMEL serta menjadikan nilai disiplin, integriti dan kecemerlangan sebagai teras utama sepanjang pengajian. Beliau turut menekankan peranan universiti dalam melahirkan graduan seimbang yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga kukuh dari sudut sahsiah dan akhlak. Majlis penutup ini turut mencerminkan komitmen UNIMEL dalam merealisasikan aspirasi βWe Design Your Futureβ, selaras dengan hasrat universiti untuk membimbing pelajar membina masa hadapan yang gemilang melalui ilmu, kemahiran dan pembentukan jati diri yang holistik.
Dengan berakhirnya Minggu Mesra Siswa ini, para pelajar baharu diharapkan dapat memulakan sesi akademik dengan lebih yakin, bersemangat dan bersedia menghadapi cabaran dunia pengajian tinggi, seterusnya menjadi warga UNIMEL yang berdaya saing dan berwibawa.