Utama β€Ί Berita β€Ί Pelajar
πŸ• 07/08/2025 03:00 PM
SDG 4: Quality Education SDG 17: Partnerships for the Goals

UNIMEL Terima Kunjungan Hormat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS)

Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menerima kunjungan hormat dan sesi ziarah cakna daripada delegasi Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dalam usaha memperkukuh hubungan strategik dan kebajikan pelajar anak Sabah di UNIMEL.

Delegasi TPNS diketuai oleh YBrs. Encik Awangku Raimy bin Pg. Abd Rahman, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan daripada TPNS serta wakil daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS). Ketibaan delegasi disambut mesra oleh Tuan Haji Noor Jeffri bin Abdul Wahab, Pendaftar UNIMEL yang hadir mewakili YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil bin Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL. Hadir sama barisan Pengurusan Tertinggi UNIMEL termasuk wakil fakulti, pentadbir kanan universiti serta para pelajar anak Sabah yang menuntut di UNIMEL.

Dalam sesi kunjungan hormat tersebut, pihak TPNS telah berpeluang menyantuni seramai 45 daripada 53 orang pelajar anak Sabah yang sedang menuntut di UNIMEL. Sesi ini menjadi ruang interaksi yang bermakna, bukan sahaja dalam mendengar suara hati serta cabaran yang dihadapi para pelajar, tetapi juga bagi menyampaikan sokongan moral dan dorongan agar mereka terus cemerlang dalam bidang akademik serta pembangunan sahsiah. Menurut wakil TPNS, lawatan ini merupakan salah satu usaha berterusan bagi memastikan kebajikan pelajar anak Sabah di perantauan sentiasa terpelihara. Ia juga menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan strategik antara TPNS, MUIS dan pihak universiti dalam melaksanakan agenda pendidikan serta pembangunan modal insan yang berkualiti.

Pihak UNIMEL melalui Pendaftar turut merakamkan penghargaan kepada TPNS dan MUIS atas keprihatinan yang ditunjukkan, serta menyatakan komitmen universiti untuk terus memberikan sokongan terbaik kepada para pelajar Sabah yang menuntut di sini. Kunjungan hormat ini bukan sahaja mengukuhkan silaturahim antara kedua-dua pihak, bahkan juga membuka ruang kerjasama yang lebih luas dalam bidang pendidikan, kebajikan pelajar dan pembangunan akademik pada masa akan datang.

Semoga ukhuwah yang terjalin ini akan terus diperkukuh, seterusnya memberikan manfaat besar kepada mahasiswa/i khususnya anak-anak Sabah yang menuntut ilmu di UNIMEL demi melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing.