Kem Kepimpinan KESPAKK 3.0 Bina Jati Diri Mahasiswa UNIMEL
Kelab Sains Pendidikan Awal Kanak-Kanak (KESPAKK), Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menganjurkan Kem Kepimpinan KESPAKK 3.0 “Melangkah Menuju Kejayaan” bertempat di Sekolah Kebangsaan Panglima Adnan, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Program yang berlangsung selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Dr. Mazni Binti Muhammad, Dekan Fakulti Pendidikan, dan disertai oleh seramai 38 orang ahli KESPAKK bersama 5 orang pensyarah pengiring.
Antara objektif utama penganjuran kem ini adalah untuk melahirkan mahasiswa/i yang berkemahiran tinggi dalam pengurusan organisasi, membina semangat kerjasama dalam kumpulan, serta melatih kemahiran sosial melalui aktiviti yang menyeronokkan. Selain itu, kem ini juga bertujuan mewujudkan hubungan positif sesama ahli kelab serta memperkukuh kesatuan kepimpinan baharu KESPAKK.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dijalankan bagi membentuk jati diri, meningkatkan keyakinan peserta, serta memperkasa sahsiah dan kepimpinan. Program ini turut membuka ruang interaksi sihat antara pihak sekolah dan UNIMEL, sekali gus menyemai nilai-nilai murni yang selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Secara keseluruhannya, Kem Kepimpinan KESPAKK 3.0 telah berjaya mencapai objektif penganjuran dengan memberi pengalaman berharga kepada peserta dalam membina kepimpinan yang unggul, berdisiplin serta berdaya saing.