Utama Berita Pelajar
🕐 25/07/2025 02:34 PM

Program “Ace It: Assignment Smart” Perkasa Teknik Penulisan Akademik Pelajar UNIMEL

Program Teknik Penulisan Tugasan Akademik “Ace It: Assignment Smart” telah berjaya dianjurkan di Bilik Kuliah 9 & 10, Fakulti Komunikasi dan Sains Kemanusiaan (FKSK), Universiti Islam Melaka (UNIMEL), setelah mengalami pertukaran lokasi akibat masalah teknikal.

Program ini dianjurkan oleh Exco Akademik dan Modal Insan LASCA 25/26 serta Kelab DOSLAC 25/26, Fakulti Undang-Undang, Governan dan Hubungan Antarabangsa, dengan objektif utama untuk membantu pelajar semester 1 dan 2 menguasai teknik penulisan tugasan akademik yang tersusun dan menepati piawaian fakulti.

Penceramah jemputan, En. Nur Mohd Iqzuan bin Samsudin selaku Timbalan Dekan fakulti tersebut, telah berkongsi panduan pembelajaran berkesan dan teknik penyediaan tugasan yang betul, termasuk penggunaan sumber rujukan seperti CLJ Prime. Program turut melibatkan pendekatan praktikal dengan penggunaan komputer riba oleh para peserta.

Seramai 32 orang pelajar dari pelbagai semester dan 18 orang urus setia menyertai program ini. Majlis penutup disempurnakan oleh Dekan Fakulti, Puan Nur Rabiatuladawiah Abdul Rahman, yang turut menyampaikan cenderamata kepada penceramah, bersama-sama Pengarah Program, Rabiatul Nadiah Ridzuan.

Program ini diharap mampu meningkatkan kemahiran pelajar dalam penulisan akademik serta memupuk pemikiran kritis dan sistematik yang selari dengan keperluan dunia perundangan.