JEJAK SEJARAH, MENYULAM ILMU: KELAB BUKU UNIMEL
Kelab Buku Universiti Islam Melaka (UNIMEL) telah menganjurkan satu program ilmiah bertemakan “Jejak Sejarah, Menyulam Ilmu”, bertempat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Selangor. Program ini memberi tumpuan kepada warisan keilmuan Islam melalui pendedahan terhadap kitab-kitab turath, khususnya Tafsir Al-Jalalain karya agung Imam Jalaluddin Al-Mahalli dan Imam Jalaluddin As-Suyuti.
Seramai sembilan orang peserta bersama seorang pegawai pengiring telah menyertai program ini tanpa kehadiran mana-mana tetamu kehormat atau VIP. Inisiatif ini bertujuan untuk memperkasa kefahaman mahasiswa dan mahasiswi Kelab Buku UNIMEL terhadap khazanah ilmu Islam, di samping menanam kecintaan terhadap budaya membaca dan ilmu turath yang semakin terpinggir dalam era moden.
Antara pengisian utama program adalah Bual Bicara Turath dan Daurah Surah Pilihan Tafsir Al-Jalalain, yang memberi fokus khusus kepada Surah Ar-Rahman. Sesi pengajian ini telah menggunakan naskhah terjemahan Tafsir Al-Jalalain yang diterbitkan oleh Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE). Lebih menarik, sesi bual bicara mempertemukan peserta dengan tokoh-tokoh ulama dari institusi pondok Nusantara dan akademik tempatan, serta tiga tokoh ilmuwan dunia, antaranya Syeikh Dr. Majd Makki dan Syeikh Prof. Dr. Idris Al-Kharshafi Al Maghribi.
Dalam masa yang sama, program turut diserikan dengan pameran manuskrip kitab turath tulisan tangan yang berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor. Pameran ini membuka peluang kepada peserta dan pengunjung untuk menelusuri warisan intelektual Islam yang menjadi panduan umat sepanjang zaman.
Sebagai nilai tambah, penganjuran Festival Buku Islami 2025 yang berlangsung serentak dengan tema “Membina Tamadun, Bermula dari Keluarga ” turut memberi ruang kepada para peserta mendapatkan pelbagai bahan bacaan ilmiah dan berkualiti. Penerbit buku Islam terkemuka dari seluruh negara turut serta dalam menjayakan festival ini.
Secara keseluruhannya, program “Jejak Sejarah, Menyulam Ilmu ” bukan sahaja mengangkat keagungan karya ilmuwan terdahulu tetapi juga menyemai minat generasi muda terhadap warisan ilmu Islam. Ia menjadi wahana penting dalam membina jati diri intelektual Muslim yang berpegang kepada ilmu dan nilai, demi menangani cabaran dunia moden dengan hikmah dan kefahaman mendalam.