Utama Berita Pelajar
🕐 20/03/2025 01:27 PM
SDG 4: Quality Education

ETIQA GENERAL TAKAFUL BERHAD DAN MAYBANK ISLAMIC BERHAD SERAHKAN ZAKAT KEPADA TABUNG KEBAJIKAN PELAJAR UNIMEL DALAUNAN MAMPAN (SDG) 4 IAITU PENDIDIKAN BERKUALITI

Maybank Islamic Berhad telah menyalurkan sumbangan zakat berjumlah RM38,000.00 kepada Tabung Kebajikan Pelajar UNIMEL. Penyerahan simbolik tersebut diadakan sempena Majlis Berbuka Puasa di Masjid Al-Ilmi, Permatang Ilmu, UNIMEL, pada Khamis, 20 Mac 2025. Majlis menyaksikan Yang Berusaha Tuan Haji Mohd Shahril Firdaus Siva bin Abdullah, Pengurus Maybank Islamic Cawangan Malim Jaya mewakili ibu pejabat Maybank Islamic untuk menyerahkan cek cura “mock cheque” kepada Yang Berbahagia Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly, Naib Canselor UNIMEL yang disaksikan oleh Yang Berhormat Dato’ Azhar bin Hj. Arshad, Setiausaha Kerajaan Negeri, sebagai tanda komitmen dalam membantu pelajar-pelajar asnaf yang memerlukan.

Di dalam majlis yang sama, pihak Etiqa General Takaful Berhad juga telah menyumbang zakat sebanyak RM 25,000.00 di mana RM 10,000.00 diagihkan kepada pelajar-pelajar asnaf, manakala RM 15,000.00 disalurkan untuk tujuan pembangunan universiti. Sumbangan telah sampaikan oleh Encik Aliff Rabbani Ramlee, Ketua Program Tanggungjawab Sosial, Etiqa General Takaful Berhad kepada Naib Canselor dan kepada para pelajar asnaf.

Sumbangan ini bertujuan meringankan beban kewangan para pelajar asnaf dan memastikan mereka terus mendapat akses kepada pendidikan berkualiti, sejajar dengan misi SDG 4. Usaha ini diharap dapat membantu pelajar-pelajar UNIMEL mendepani cabaran pendidikan dengan lebih baik, tanpa halangan kewangan yang membantutkan potensi mereka.

Dalam ucapan penghargaan, pihak universiti menzahirkan terima kasih kepada Maybank Islamic Berhad atas keprihatinan dalam memastikan kebajikan pelajar terus terjaga. Penyaluran zakat ini bukan sahaja memberi manfaat jangka pendek tetapi juga berpotensi memberi impak positif kepada masa depan pelajar.

UNIMEL berharap sumbangan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif kebajikan pada masa akan datang, bagi memastikan tiada pelajar tercicir dalam mengejar kecemerlangan akademik. Melalui kolaborasi sebegini, UNIMEL kekal komited dalam memperkukuh misi membentuk generasi cemerlang yang mampu memberi impak kepada komuniti dan negara.