PROGRAM KESPAKK WITH HEALTHY LIFESTYLE PERKASA KEMAHIRAN SOSIAL DAN GAYA HIDUP SIHAT PELAJAR
Melaka, 9 Januari 2026 – Program KESPAKK With Healthy Lifestyle telah berjaya dilaksanakan pada Jumaat, 9 Januari 2026 bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bertempat di Dataran Siswa, Universiti Islam Melaka. Program ini dianjurkan dengan matlamat untuk memupuk gaya hidup sihat di samping memperkukuh kemahiran sosial, komunikasi dan kepimpinan dalam kalangan pelajar.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan lebih 100 orang peserta, terdiri daripada pensyarah Fakulti Pendidikan UNIMEL serta para pelajar. Bagi slot pertama, peserta melibatkan pelajar Ijazah Sarjana Muda semester 2 dan 4 DPACC yang menyertai aktiviti Eat Right, Live Right, iaitu aktiviti memasak secara berkumpulan yang menekankan amalan pemakanan sihat dan kerjasama berpasukan. Turut terlibat ialah pelajar Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak semester 1, menjadikan program ini bersifat inklusif dan merentas peringkat pengajian.
Pelaksanaan program ini dirangka berlandaskan beberapa objektif utama, antaranya meningkatkan kemahiran asas mengajar mahasiswa dan mahasiswi, di samping memperkukuh kemahiran sosial serta komunikasi antara peserta. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan pelajar melalui penglibatan aktif dalam aktiviti berkumpulan. Program ini turut berperanan membina semangat kesatuan, kerjasama dan kepimpinan baharu dalam kalangan ahli KESPAKK.
Di samping itu, aktiviti yang dijalankan secara santai dan menyeronokkan turut memberi peluang kepada peserta untuk mengurangkan tekanan, melatih kemahiran sosial serta menggalakkan interaksi positif antara rakan sebaya dan pensyarah. Secara keseluruhannya, penganjuran Program KESPAKK With Healthy Lifestyle ini diharapkan dapat memberikan impak yang positif dalam meningkatkan kemahiran praktikal, disiplin kerja dan daya saing pelajar. Melalui penyertaan aktif serta bimbingan berterusan, program seumpama ini mampu menjadi landasan kukuh dalam melahirkan graduan yang berkualiti, beretika serta bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan pada masa hadapan.
Pihak penganjur turut berharap agar segala perancangan yang telah disusun dapat dilaksanakan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Segala kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh semua pihak amat dihargai.