KUNJUNG HORMAT NAIB CANSELOR UNIMEL KE KETUA PENGARAH DBP PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK
KUALA LUMPUR, 24 Februari 2026 – Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL), Abdul Khalil Shawkataly telah mengadakan kunjungan hormat rasmi ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Kunjungan tersebut telah disambut oleh Ketua Pengarah DBP, Hazami Jahari bersama barisan Ketua-Ketua Bahagian DBP dalam suasana penuh mesra dan profesional.
Perbincangan yang berlangsung memberi tumpuan kepada potensi kolaborasi dalam bidang penerbitan dan pembangunan karya ilmiah, termasuk penerbitan buku akademik, jurnal penyelidikan serta bahan rujukan ilmiah yang berkualiti tinggi. Selain itu, pertemuan ini turut menjadi platform pertukaran pandangan dan perkongsian kepakaran dalam memperkasa bahasa dan kesarjanaan negara.


Naib Canselor UNIMEL menyifatkan pertemuan tersebut sebagai langkah penting dalam memperluas jaringan strategik universiti bersama institusi peneraju bahasa dan penerbitan negara, sekali gus memperkukuh peranan UNIMEL dalam menyumbang kepada pembangunan ilmu dan pemartabatan bahasa Melayu di peringkat nasional.
Kedua-dua pihak turut menyatakan komitmen untuk meneroka pelaksanaan program bersama yang lebih berimpak demi manfaat warga akademik dan masyarakat.
Kunjungan hormat ini mencerminkan iltizam berterusan UNIMEL dalam memperkasa agenda keilmuan negara serta membina kerjasama mampan yang berteraskan integriti, profesionalisme dan kecemerlangan akademik.